Tuesday, March 31, 2009

Rahmat Allah Di Sebalik Perbezaan Mazhab


Penerbit : JAHABERSA, Johor Bahru (1996)
Author: Al Hafiz Imam Jalaluddin As Sayuti
ISBN: 077-154-7
Pages: 71, Paperback
Harga : RM5


Setiap mazhab adalah benar?


Pendapat tersebut adalah salah satu pendapat para imam mazhab yang empat dan ditarjihkan (dikuatkan) oleh Al-Qadi Abu Bakar, di dalam kitab karangannya al-Taghrib : Yang paling jelas daripada pendapat Imam al-Syafie dan yang paling sama dengan mazhabnya dan mazhab para ulama lain ialah pendapat bahawa setiap mujtahid adalah benar.” Pendapat ini juga adalah pendapat sahabat-sahabat kami seperti Ibnu suraij, Qadhi Abu Hamid, Ad-Daraki dan kebanyakan ulama bermazhab al-Syafi'e di Iraq.


Di kalangan mazhab Hanafi yang sependapat ialah Abu Yusuf (Yaakub bin Ibrahim Al-Kufi, Muhammad bin Al-Hassan, Abdullah bin Umar bin Isa ad-Dabbusi Al-Bukhari dan diriwayatkan daripada keseluruhan ulama mereka, sekiranya kamu mempersoalkan kenapa hadis Rasulullah SAW: “Jika seorang hakim yang berijtihad benar(dalam penetapan hukumnya), maka dia akan memperolehi dua pahala, dan sekiranya dia salah, dia akan memperolehi satu pahala.”


Ertinya, hadis ini menunjukkan bahawa di kalangan para mujtahid itu ada yang benar dan ada yang tidak tepat, serta ganjaran ke atas mereka berbeza. Kalaulah semua benar, tentu tidak ada makna pembahagian (benar dan salah) di dalam hadis di atas.


Jawapanku ialah, yang dimaksudkan dengan hadis itu pada sabda ‘Faahkta'a ialah tidak menepati hukum yang lebih afdhal atau yang lebih utama. Sepertimana yang terjadi pada para sahabat r.a. yang menerima teguran daripada Allah SWT kerana menjatuhkan hukuman tebusan terhadap para tawanan Badar, bukan kerana hukuman itu salah, tetapi kerana ia bukan hukuman yang terbaik.


Al-Khatib Al-Baghdadi meriwayatkan melalui jalan Ismail bin Al-Majalid katanya:

“Harun Al-Rasyid berkata kepada Imam Malik bin Anas: "Wahai Abu Abdillah, kami akan tulis beberapa naskhah kitab ini dan kami akan tebarkannya di segenap pelusuk wilayah Islam, supaya kami memaksa umat (menerimanya sebagai pegangan dan panduan).”


Jawab Imam Malik:

“Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya perselisihan di kalangan ulama adalah rahmat Allah untuk umat ini. Setiap orang mengikut apa yang jelas di sisinya. Kesemua di atas petunjuk dan dikehendaki Allah.”


Daripada As-Sya’bi bahawa Rasulullah SAW pernah menjalankan satu hukuman tetapi selepas itu Al-Qur'an turun menyalahi apa yang baginda telah jalankan hukuman itu. Baginda terus menerima hukum Al-quran itu tanpa menafikan atau menarik balik hukumannya yang terdahulu. (Al Madkhal - Imam Al-Baihaqi)


Khilaf/perselisihan pendapat di dalam masalah feqah merupakan perkara biasa, masing-masing beramal mengikut apa yang jelas bagi mazhab masing-masing secara umum. Namun kadang-kadang amalan berubah mengikut fatwa ulama kerana tuntunan keadaan, masa dan situasi yang dituntut mengikut keupayaan yang menjadi rahmat dan kemudahan kepada umat Islam .


Hukum Menukar Mazhab



1. Haram – Bagi mereka yang tidak pernah mendalami ilmu feqah, dia tidaklah memahami sesuatu mazhab melainkan setakat tahu namanya sahaja sama ada Syafie, Hanafi dan sebagainya. Mereka ini dikategori sebagai orang awam. Bagi mereka yang pernah mendalami feqah mazhab dan dia menukar mazhab kerana tujuan keduniaan juga hukumnya haram. Kerana dia seolah-olah mempermainkan hukum-hukum syariat.

2. Harus malah boleh jatuh pada hukum wajib – Al-Nawawi di dalam Ar-Raudah menyebutkan si muqallid mesti (wajib) berusaha mencari mazhab yang lebih mantap ilmunya dan dia lebih yakin bahawa mazhab yang kedua lebih mantap, memang patut diletakkan pada hukum harus malah boleh jatuh pada hukum wajib. Jika si muqallid boleh memilih (terpulang kepada muqallid) maka hukumnya tetap harus.


Ringkasan petikan buku. Selamat Membaca..

Amaran Meninggalkan Sembahyang

Penerbit : JAHABERSA, Johor Bahru.
ISBN:
170-042-2
Pages: 160, Paperback

Sembahyang atau solat adalah sesuatu yang diperintahkan oleh Allah. Malah ia diletakkan sebagai salah satu rukun Islam yang lima dan ia adalah yang kedua selepas pengakuan syahadah. Ini menunjukkkan betapa pentingnya pelaksanaan ibadah sembahayang itu pada diri seorang hamba.Sembahyang juga adakah merupakan kayu pengukur untuk menentukan keimanan dan keislaman seseorang kerana ia adalah tiang agama. Sebuah bangunan tidak akan terbina tanpa tiang. Begitulah juga agama Islam ini tidak akan terbangun tanpa tiangnya iaitu sembahyang lima waktu.

Sembahyang adalah penghubung antara seorang hamba dengan tuhannya. Melalui sembahyanglah seorang hamba dapat melahirkan rasa kehambaannya.Maka seorang hamba yang beriman akan mengutamakan sembahyangnya dengan bersungguh-sungguh dan sentiasa memeliharanya pada waktunya serta mendirikannya dengan penuh khusyuk dan tawaduk.

Salah Faham Terhadap Bid'ah


Terbitan : Darul Nu'man, Kuala Lumpur
ISBN: 983-046-337-0
Kandungan: 312 m.s.
Harga: $13.00

Syariat Islam adalah pegangan yang bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah. Manakala bid'ah pula adalah perbuatan atau amalan yang bertentangan serta bercanggah dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Bukan semua amalan bid'ah perlu dihindari dan tidak diterima pakai.

Terdapat di kalangan kita yang mengamalkan amalan bid'ah sebagai amalan harian. Namun pada masa yang sama, mereka turut melakukan segala amalan wajib. Justeru untuk memahami dengan lebih lanjut dan mendalam mengenai permasalahan ini, penulis cuba untuk mengupas dengan lebih lanjut lagi.

Semoga dengan memahami buku ini, dapat membantu menjawab segala salah faham terhadap amalan bid'ah, insya Allah.


Pengurusan Kesihatan yang Praktikal

Penerbit : Darul Nu'man, Kuala Lumpur
ISBN: 983-046-343-5
Kandungan: 128 m.s.
Harga: $5.00

Sesungguhnya akal yang sihat terletak pada tubuh yang sihat. Lantaran itu, Islam amat menitikberatkan tentang aspek kesihatan. Sebagai umat Islam, kita wajib mensyukuri nikmat kesihatan yang dianugerahkan oleh Allah SWT. Justeru, setiap pengucapan syukur di dalam hati seharusnya disertakan dengan perlakuan amal.

Pengurusan kesihatan tidak hanya tertumpu pada aspek pemakanan semata, sebaliknya turut mengambil kira dari pelbagai sudut seperti riadah, peribadatan dan pergaulan. Kesihatan jasmani dan mental sekaligus dapat membentuk keperibadian muslim yang hakiki dalam mengabdikan diri kepada Yang Maha Esa. Demikian indahnya jalinan yang diciptakan Ilahi.

Semoga buku ini dapat membantu memberikan manfaat yang berguna kepada kita semua, insya Allah.


Peranan Masjid

Terbitan : Darul Nu'man, Kuala Lumpur
ISBN: 983-046-354-0
Tebal: 136 m.s.
Harga: $5.00

Masjid merupakan rumah ibadat dan kubu untuk mempertahankan iman serta membentuk akhlak yang mulia. Di sinilah umat Islam membuang segala hasad dengki, kerakusan, kejahatan serta kerosakan. Seterusnya memasukkan nur iman penuh keikhlasan dan kekhusyukan dalam menuju cinta terhadap Ilahi. Mengharapkan keredhaan, kasih sayang serta rahmat hanya dari Pencinta yang hakiki.

Institusi masjid dianggap penting dalam pembangunan Agama Islam, masyarakat dan negara. Ia merupakan rumah Allah yang suci, sekaligus tempat peribadatan bagi umat Islam. Peranannya turut merangkumi markas perbincangan, pendidikan, pentadbiran, politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Pelbagai kemaslahatan dan kepentingan umat Islam bermula di sini. Lantaran terlalu besar peranan yang dimainkan olehnya.

Semoga buku ini dapat menyumbangkan manfaat yang besar dalam memahami peranan dan kepentingan masjid, insya Allah.


Rahsia Kota Baitul Maqdis & Masjidil Aqsa

Terbitan: Darul Nu'man, Kuala Lumpur

ISBN: 983-046-320-6
Kandungan: 120 m.s.
Harga: $5.00

Baitul Maqdis sebuah kota purba yang tak ternilai harganya. Kota yang menjadi rebutan makhluk bernama manusia, tanpa mengenal agama mahupun bangsa. Sejarah perjalanannya sentiasa terpalit dengan pelbagai persengketaan dan peperangan silih berganti. Namun apakah yang menyebabkan ianya begitu istimewa?

Menyingkap sejarah silamnya membuatkan kita terpegun sejenak. Merenung dan memikirkan perjalanannya yang penuh dengan pelbagai liku onak dan duri. Disinilah kiblat pertama umat Islam sebelum Kaabah. Tempat beribadatnya umat Islam di Masjidil Aqsa. Masjid kedua di muka bumi Allah ini. Terlalu banyak nyawa yang menjadi taruhan dan korban kerananya. Namun percayalah, setiap titisan darah pejuang yang mengalir ke bumi kerananya pasti mendapat ganjaran dari Allah SWT.

Semoga buku ini dapat membantu memberikan gambaran yang jelas mengenai kota Baitul Maqdis serta segala yang ada di dalamnya, insya Allah.


Rahsia Kota Madinah & Masjidin Nabawi

Terbitan : Darul Nu'man, Kuala Lumpur
ISBN: 983-046-319-2
Kandungan: 120 m.s.
Harga: $5.00

Madinah Al-Munawwarah kota pertama yang menyinarkan cahaya kegemilangan Islam. Kota yang menjadi asas pusat dakwah dan penyebaran agama Islam di muka bumi. Segala pahit getir perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat akan sentiasa terpahat di dalamnya.

Pasang surut kehidupan tentunya penuh dengan onak dan ranjau. Dakwah baginda di Makkah mendapat tentangan yang terlalu hebat, lantaran itu Allah SWT memerintahkan Baginda berhijrah ke Madinah. Disinilah dibina masjid Baginda yang diberi nama Masjidin Nabawi. Dengan berpandukan wahyu dari Ilahi, Baginda berusaha mendidik dan membimbing manusia ke jalan yang benar.

Semoga buku ini dapat membantu memberikan gambaran dan pengajaran tentang kisah-kisah perjuangan Rasulullah SAW serta para sahabat, insya Allah.