Tuesday, March 31, 2009

Rahmat Allah Di Sebalik Perbezaan Mazhab


Penerbit : JAHABERSA, Johor Bahru (1996)
Author: Al Hafiz Imam Jalaluddin As Sayuti
ISBN: 077-154-7
Pages: 71, Paperback
Harga : RM5


Setiap mazhab adalah benar?


Pendapat tersebut adalah salah satu pendapat para imam mazhab yang empat dan ditarjihkan (dikuatkan) oleh Al-Qadi Abu Bakar, di dalam kitab karangannya al-Taghrib : Yang paling jelas daripada pendapat Imam al-Syafie dan yang paling sama dengan mazhabnya dan mazhab para ulama lain ialah pendapat bahawa setiap mujtahid adalah benar.” Pendapat ini juga adalah pendapat sahabat-sahabat kami seperti Ibnu suraij, Qadhi Abu Hamid, Ad-Daraki dan kebanyakan ulama bermazhab al-Syafi'e di Iraq.


Di kalangan mazhab Hanafi yang sependapat ialah Abu Yusuf (Yaakub bin Ibrahim Al-Kufi, Muhammad bin Al-Hassan, Abdullah bin Umar bin Isa ad-Dabbusi Al-Bukhari dan diriwayatkan daripada keseluruhan ulama mereka, sekiranya kamu mempersoalkan kenapa hadis Rasulullah SAW: “Jika seorang hakim yang berijtihad benar(dalam penetapan hukumnya), maka dia akan memperolehi dua pahala, dan sekiranya dia salah, dia akan memperolehi satu pahala.”


Ertinya, hadis ini menunjukkan bahawa di kalangan para mujtahid itu ada yang benar dan ada yang tidak tepat, serta ganjaran ke atas mereka berbeza. Kalaulah semua benar, tentu tidak ada makna pembahagian (benar dan salah) di dalam hadis di atas.


Jawapanku ialah, yang dimaksudkan dengan hadis itu pada sabda ‘Faahkta'a ialah tidak menepati hukum yang lebih afdhal atau yang lebih utama. Sepertimana yang terjadi pada para sahabat r.a. yang menerima teguran daripada Allah SWT kerana menjatuhkan hukuman tebusan terhadap para tawanan Badar, bukan kerana hukuman itu salah, tetapi kerana ia bukan hukuman yang terbaik.


Al-Khatib Al-Baghdadi meriwayatkan melalui jalan Ismail bin Al-Majalid katanya:

“Harun Al-Rasyid berkata kepada Imam Malik bin Anas: "Wahai Abu Abdillah, kami akan tulis beberapa naskhah kitab ini dan kami akan tebarkannya di segenap pelusuk wilayah Islam, supaya kami memaksa umat (menerimanya sebagai pegangan dan panduan).”


Jawab Imam Malik:

“Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya perselisihan di kalangan ulama adalah rahmat Allah untuk umat ini. Setiap orang mengikut apa yang jelas di sisinya. Kesemua di atas petunjuk dan dikehendaki Allah.”


Daripada As-Sya’bi bahawa Rasulullah SAW pernah menjalankan satu hukuman tetapi selepas itu Al-Qur'an turun menyalahi apa yang baginda telah jalankan hukuman itu. Baginda terus menerima hukum Al-quran itu tanpa menafikan atau menarik balik hukumannya yang terdahulu. (Al Madkhal - Imam Al-Baihaqi)


Khilaf/perselisihan pendapat di dalam masalah feqah merupakan perkara biasa, masing-masing beramal mengikut apa yang jelas bagi mazhab masing-masing secara umum. Namun kadang-kadang amalan berubah mengikut fatwa ulama kerana tuntunan keadaan, masa dan situasi yang dituntut mengikut keupayaan yang menjadi rahmat dan kemudahan kepada umat Islam .


Hukum Menukar Mazhab



1. Haram – Bagi mereka yang tidak pernah mendalami ilmu feqah, dia tidaklah memahami sesuatu mazhab melainkan setakat tahu namanya sahaja sama ada Syafie, Hanafi dan sebagainya. Mereka ini dikategori sebagai orang awam. Bagi mereka yang pernah mendalami feqah mazhab dan dia menukar mazhab kerana tujuan keduniaan juga hukumnya haram. Kerana dia seolah-olah mempermainkan hukum-hukum syariat.

2. Harus malah boleh jatuh pada hukum wajib – Al-Nawawi di dalam Ar-Raudah menyebutkan si muqallid mesti (wajib) berusaha mencari mazhab yang lebih mantap ilmunya dan dia lebih yakin bahawa mazhab yang kedua lebih mantap, memang patut diletakkan pada hukum harus malah boleh jatuh pada hukum wajib. Jika si muqallid boleh memilih (terpulang kepada muqallid) maka hukumnya tetap harus.


Ringkasan petikan buku. Selamat Membaca..

No comments:

Post a Comment